Ahad, 3 April 2011

Kopi O kosong, halia tahan mabuk


Oleh: Pak Nuri

MASIH lagi kita bincangkan cerita mabuk laut. Banyak lagi yang bertanya tentang yang berterusan, walaupun sudah makan pil mabuk yang dibeli di farmasi dan beberapa petua tradisional sebelum turun ke laut.

Rata-rata mereka mendakwa tidak boleh terhidu bau air laut, bau lantai bot dan goyang bot walaupun sedikit. Ini sukar Pak Nuri hendak menjawabnya, kerana jika sudah begitu teruk menyeksa badan adalah baik batalkan saja niat untuk turun ke laut kerana tentunya anda bakal berdepan dengan ribut dan gelombang besar. Sekiranya anda masih berminat untuk menjadi seorang pengail sambil menanam azam bahawa anda juga boleh memancing seperti orang lain.

Jika begitu kuat azam dan semangat anda untuk terus meneroka laut, langkah terbaik yang harus anda lakukan ialah amalkan petua seperti yang telah Pak Nuri muatkan dalam halaman ini beberapa bulan yang lalu dan elakkan dari terus bergantung kepada ubat mabuk, kerana ubat mabuk yang dibeli di farmasi atau kedai ubat lain membuatkan anda akan tidur yang tentunya tidur sehingga tidak sedarkan diri.

Jika ini terjadi tentunya cita-cita dan hasrat anda untuk memancing akan lenyap bersama dengan tidur anda. Bagi mereka yang sudah berkali-kali turun memancing ke laut tapi masih mabuk dan muntah walaupun keadaan laut terlalu baik, air laut tenang bagaikan di tasik, tidak bergelombang, jika ada pun cuma anak gelombang saja yang bermain, justeru nasihat Pak Nuri anda kena banyak minum air mineral berselang dengan makan makanan masam dan biarkan dalam mulut anda barang di kunyah.

Petua yang Pak Nuri dapati daripada sahabat pemancing juga menceritakan air halia pekat juga boleh menahan mabuk terutama kerana terlalu lama di lambung gelombang. Ada juga sesetengah pemancing minum kopi O kosong pekat sebelum naik bot.

Perut jangan dibiarkan kosong dan tidak terlalu kenyang, sambil itu jika melakukan potongan isi ikan atau sotong yang sudah berbau anda hendaklah cepat membasuh tangan dan keringkan dengan kain bersih supaya baunya tidak berkesan pada hidung anda dan satu perkara lagi yang perlu anda jauhi ialah jika membetulkan tali apollo atau perambut yang kusut jangan sekali-kali anda tunduk terlalu lama, adalah lebih baik anda simpan atau menukarkan pada yang baru.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan